IPOH 24 Mac - Beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki berkeliaran dalam keadaan bogel di Taman Tronoh Awana dekat Tronoh hari ini.
Lelaki terbabit yang hanya menutup muka dipercayai menggunakan baju itu dilihat berjalan di belakang dan perkarangan rumah penduduk tanpa tujuan.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi sehingga hampir pukul 7 pagi.
Seorang penduduk, Shaarani Ismail, 42, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas berlaku beberapa insiden di mana CCTV rumah penduduk ditutup dengan kain dan tingkap bilik air dibuka dari luar.
Katanya, ekoran kejadian itu, dia memeriksa CCTV di rumahnya dan terkejut apabila melihat terdapat rakaman lelaki bogel berkeliaran di belakang dan perkarangan rumah.
"Menerusi CCTV, saya tidak nampak lelaki itu memegang apa-apa senjata dan dia dilihat hanya berjalan mundar-mandir sahaja.
"Apabila saya periksa keadaan persekitaran rumah, tiada barang-barang yang hilang atau kesan rumah dipecah masuk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shaarani berkata, dia tidak mengetahui identiti lelaki terbabit namun mengesyaki lelaki warga asing yang imejnya dirakam berjalan seorang diri sebelum kejadian.
"Saya harap lelaki itu dapat ditangkap segera kerana kami bimbangkan keselamatan penduduk terutama bagi mereka yang tinggal seorang diri," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, dua laporan diterima bersabit kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.-PerakGazette
Gambar Media sosial
コメント