top of page
Writer's pictureMr Yalaitu

Ringkasan Perutusan Perdana Menteri 7 Jun - PKPB ke PKPP

KERAJAAN mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir pada 9 Jun ini. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKPP ini lebih banyak kelonggaran diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian

Berikut merupakan ringkasan antara intipati teks ucapan PM sebentar tadi.


Perjalanan rentas negeri dibenarkan

Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.


Aktiviti sosial,pendidikan dan perniagaan dibenarkan

Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.


Aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan

Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan. Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.


Sekolah akan dibuka secara berperingkat setelah dapat nasihat Kementerian Kesihatan

Bagi ibu-bapa yang ada anak yang bersekolah, pastinya saudara-saudari tertanya-tanya bila sekolah akan dibuka. Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi.


Aktiviti komersial babitkan urusan jualan bukan dalam premis dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Perintah Pemulihan (PKPP)

Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan. Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem. Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang.


Waktu operasi perniagaan akan beroperasi seperti biasa namun dengan pematuhan SOP

Dalam tempoh pemulihan menuju normalisasi ini, beberapa aktiviti dan sektor di dalam senarai negatif semasa PKPB akan dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP yang ditetapkan. Umpamanya, waktu operasi perniagaan akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baharu yang melibatkan pemilik premis dan pelanggan. Penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka di tempat awam dan membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer merupakan kebiasaan baharu yang mesti diamalkan.


Beberapa sukan dan aktiviti rekreasi akan dibenarkan kecuali sukan membabitkan sentuhan, penonton dan perhimpunan penyokong

Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain. Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan. Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki.


Sambutan Hari Raya Aidiladha dan aktiviti korban dibenarkan

Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.


Semua pihak harus berganding bahu

Sehubungan dengan pelaksanaan PKPP ini, PM turut menyeru kita semua untuk menggunapakai aplikasi MySejahtera yang telah dibangunkan oleh kerajaan untuk membolehkan kita melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. Aplikasi ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang cepat, tepat dan berkesan untuk mengenalpasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.


“Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita. Ya adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan” – Tan Sri Muyhiddin Yasin


Sumber : Teks Ucapan Perdana Menteri 7 Jun 2020

21 views0 comments

Comentarios


bottom of page