Rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung menyambut baik keputusan kerajaan negeri yang memberi kebenaran masuk ke negeri ini melalui udara, darat dan laut.
Katanya, umum mengetahui salah satu penyumbang terbesar ekonomi negeri adalah dijana oleh sektor pelancongan dan kebenaran perjalanan ini dapat membantu usahawan-usahawan kecil seperti sektor pembuatan kraftangan, makanan dan minuman (F&B) dan juga pembuatan makanan tempatan.
Tambahnya, ia juga serba sedikit dapat membantu sektor perhotelan yang semakin tenat agar pengusaha terlibat dapat menjana dan membaik pulih semula fasiliti dan perkhidmatan industri, seterusnya mengurangkan risiko penutupan dan pembuangan pekerja.
"Saya percaya pihak kerajaan Sabah telah membuat pertimbangan yang sewajarnya dan telah memperhalusi tindakan ini dengan mengambil Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti syarat melakukan ujian COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum memasuki Sabah dengan bukti surat pengesahan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Terdapat ramai rakyat Sabah yang terkandas di Semenanjung kerana diberhentikan kerja akibat impak daripada penularan COVID-19. Dengan kebenaran ini dapat memudahkan proses mereka untuk pulang semula ke daerah masing-masing di Sabah.
"Bagaimanapun, ketelusan dan kerjasama warganegara yang memasuki Sabah perlu menjadi keutaaman agar penularan kes COVID-19 dapat dibendung pada tahap maksima," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Sabah yang kini menetap di Perak, Riaty Abada turut menyambut baik keputusan kerajaan membuka pintu masuk ke Sabah melibatkan penjawat awam, pekerja swasta dan warganegara tempatan.
Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbang dan memperhalusi mengenai syarat perlu menjalani ujian COVID-19 oleh mereka yang mahu balik atau memasuki ke Sabah.
"Kita faham dan sedia mematuhi syarat untuk masuk ke Sabah iaitu perlu menjalani ujian COVID-19 terlebih dahulu. Tetapi untuk menjalani ujian ini memerlukan kos yang besar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
"Harga tiket penerbangan ketika ini juga bukannya murah, dan ditambah lagi dengan kos untuk menjalani ujian COVID-19, ia sebenarnya agak membebankan bagi saya dan suami yang hanya bekerja dalam sektor swasta.
"Saya juga dengar ramai rakyat Sabah yang diberhentikan kerja ingin balik ke negeri asal, tetapi terkandas akibat tiada wang, apatah lagi untuk membuat ujian ini. Oleh itu, saya berharap pihak kerajaan negeri dapat mempertimbang untuk menyediakan ujian COVID-19 secara percuma di klinik atau hospital kerajaan," katanya.
Beliau sebelum ini juga pernah membeli tiket penerbangan untuk balik ke Sabah pada bulan Mei yang lalu, bagaimanapun penerbangannya telah diubah masa dan akhirnya dibatalkan. Berikutan itu, beliau dan keluarga bercadang untuk balik ke Sabah hanya selepas kerajaan negeri memperincikan dengan lebih mendalam mengenai kebenaran perjalanan ini.
Sumber dan ayat: UtusanBorneo
Comments