Meskipun Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menggariskan pelbagai inisiatif merangsang aliran tunai perniagaan namun agak mengecewakan kerana tiada pengumuman berkaitan kebenaran sektor tertentu beroperasi.
Gambar sekadar Hiasan
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun berkata rasa kecewa itu diluahkan kalangan pengendali perniagaan dalam sektor salon, gunting rambut, spa dan seumpamanya.
"Sektor berkenaan sudah dibuka di Thailand dan Vietnam manakala Kerajaan Negeri Sarawak sudah membenarkan operasi kedai gunting rambut," katanya memberi reaksi ke atas pengumuman Penjana oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mositun yang juga mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata sektor berkenaan amat terkesan dengan tempoh yang dihadapi ketika ini kerana pada waktu yang sama harus membayar sewa premis dan gaji pekerja.
Menurut Mositun, kerajaan sepatutnya menaruh kepercayaan terhadap kesedaran tinggi masyarakat tentang pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam sektor berkenaan kerana selama ini rakyat sudah terlatih bagaimana mengelak penularan COVID-19.
Lagipun, kata Mositun SOP untuk pelbagai sektor perniagaan telah disediakan dan sudah pasti mana-mana sektor yang dibenarkan beroperasi akan mengutamakan langkah-langkah penjagaan keselamatan mengelak jangkitan.
Mositun yakin, tahap pemulihan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang telah sampai kepada tahap di mana rakyat sudah membudayakan norma baharu dalam kehidupan sehari-hari khususnya di tempat awam.
"Langkah kerajaan membenarkan pembukaan sektor berkenaan dapat memberi sinar kepada sektor tersebut untuk terus hidup dan terus menjadi sumber penghasilan kepada pengusaha,"katanya.
Sumber dan Ayat: BeritaSabah
Comments