Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan bilangan ahli jemaah solat Jumaat ditambah kepada 40 orang bagi masjid terpilih bermula Jumaat ini 5/6/2020.
Mufti Negeri Sabah yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz @ Jaafar berkata, ahli jemaah solat lima waktu juga dibenarkan untuk ditambah kepada 12 orang.
Katanya, ahli jemaah solat Jumaat itu termasuklah Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid, imam dan khatib.
Bagaimanapun jelasnya, pihak berwajib dan AJK masjid hendaklah menentukan ahli jemaah solat Jumaat terlebih dahulu.
Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dan perselisihan antara ahli jemaah solat Jumaat yang berkenaan.
"Bagi kebenaran solat berjemaah lima waktu, ia terdiri daripada AJK masjid, petugas masjid atau surau serta orang awam.
"Ahli jemaah yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir solat Jumaat," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau melainkan mereka yang ditentukan dengan kebenaran khas untuk melaksanakan solat Jumaat.
Sehubungan itu, pihaknya berharap semua orang awam dapat mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Dalan pada itu, beliau turut mengingatkan agar ahli jemaah membuat pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembersih tangan, serta merekodkan kehadiran masing-masing.
Katanya, mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam dan batuk tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau.
Sumber dan Ayat: UtusanBorneo
Comments